Haleluya! Dalam Nama Tuhan Yesus, saya memberikan kesaksian:
Saya, Diakenis Chin En Jin, berusia lapan puluh empat tahun, adalah anggota Gereja Yesus Benar Kudat, Sabah. Saya ingin bersaksi tentang kuasa besar Tuhan yang dinyatakan dalam diri saya, yang telah menyembuhkan saya daripada penyakit parah.
Pada tahun 2022, saya menerima suntikan vaksin COVID-19 ketiga, tetapi tidak lama kemudian saya dijangkiti virus tersebut. Ketika itu, saya hanya mengalami beberapa gejala seperti selesema dan batuk, dan merasa tiada apa-apa yang serius. Namun, selepas lebih dari sebulan, sekitar bulan Mac, saya mula merasakan keadaan badan yang tidak normal. Air kencing saya semakin kekuningan dan keruh. Kebetulannya tiba waktu saya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kudat, jadi saya melakukan pemeriksaan darah dan air kencing.
Hasil ujian menunjukkan tahap kesihatan saya sangat serius kritikal, dan doktor bertanya sama ada najis saya berwarna putih. Saya menjawab tidak, tetapi dia dengan serius menyarankan agar saya segera pergi ke Kota Kinabalu untuk melakukan pemeriksaan lanjut. Saya kemudian pergi ke Pusat Pemeriksaan Darah Damai di Kota Kinabalu untuk pemeriksaan darah.
Setelah laporan keluar, doktor memberitahu bahawa keadaan hati saya sangat buruk, dan disyaki menghidap penyakit kanser hati. Mereka menyarankan saya untuk melakukan pemeriksaan lebih lanjut. Oleh itu, saya pergi ke hospital swasta JMC. Sebelum ini, saya sering ke hospital tersebut untuk pemeriksaan hati, tetapi kerana pandemik, pemeriksaan telah ditangguhkan lebih dari setahun. Di JMC, saya menjalani imbasan hati dan sampel darah dihantar ke Kuala Lumpur untuk analisis.
Sepanjang tempoh itu, saya kehilangan selera makan, bahkan sukar untuk minum air dan tidur. Saya menjadi kurus dan lemah. Perut saya mula mengumpul lendir, jumlah air kencing saya juga berkurang, bahkan air kencing saya pekat dan keruh. Disebabkan ketidakmampuan untuk membuang cecair berlebihan dari badan, perut saya menjadi bengkak seperti mengandung tiga hingga empat bulan dan disertai rasa sakit di bahagian bawah perut.
Pada waktu ini, bukan hanya hati saya yang bermasalah, tetapi organ lain juga mula terjejas. Saya sering buang angin, yang disertai lendir seperti putih telur yang keluar. Penyakit ini semakin parah hingga menyebabkan asites (pengumpulan cecair di rongga perut), dan kaki saya mula membengkak. Pada tahap ini, saya menyedari masa saya mungkin tidak lama lagi. Secara umumnya, pesakit penyakit hati yang sudah sampai pada tahap asites berada pada peringkat akhir, dan saya telah melihat beberapa pesakit yang meninggal dunia tidak lama selepas mengalami asites. Hasil analisis menunjukkan bahawa nilai indeks buruk saya mencapai 2000-3000, sedangkan indeks baik saya hanya 20 hingga 30. Doktor menggelengkan kepala selepas melihat keputusan, dan mengatakan bahawa keadaan saya sangat serius. Doktor hanya memberikan saya tiga jenis ubat, dan menyatakan bahawa ubat tidak dapat membuang cecair dalam badan saya. Jika keadaan bertambah buruk, prosedur pembedahan untuk mengeluarkan cecair perlu dilakukan.
Syukur kepada Tuhan, "penghujung manusia adalah permulaan bagi Tuhan." Walaupun sedar bahawa masa saya mungkin tidak lama, saya hanya menyerahkan hidup saya kepada Tuhan. Saya juga telah menguruskan barang-barang saya dengan baik, dan selebihnya saya serahkan kepada Tuhan! Jika Tuhan mahu saya hidup, saya memohon kesembuhan; jika Tuhan ingin membawa saya kembali ke rumah di syurga, saya juga rela. Namun, saya tidak melepaskan setiap peluang untuk berdoa memohon anugerah penyembuhan daripada Tuhan. Setiap kali ada pertemuan ibadah, saya akan tampil ke depan untuk menerima doa penumpangan tangan daripada penjawat kudus, dan memohon agar Tuhan memberikan anugerah penyembuhan.
Dengan cara demikian, cecair dalam perut saya cepat berkurangan, dan kaki saya juga mulai surut bengkaknya. Tuhan telah menyelamatkan saya daripada kesakitan akibat prosedur pengeluaran cecair melalui pembedahan. Pada saat ini, saya sangat bersyukur atas kasih karunia yang ajaib dari Tuhan, dan juga berterima kasih kerana Dia masih memelihara hidup saya hingga kini.
Menghidapi penyakit yang begitu serius pada usia seperti ini, namun dapat hidup hingga hari ini, semuanya kerana kuasa besar Tuhan Yesus yang telah menyembuhkan saya dan memberikan kesihatan. Hati saya penuh dengan rasa syukur. Seperti yang tertulis dalam Alkitab: "Sekalipun aku berjalan dalam lembah kekelaman, aku tidak takut bahaya, sebab Engkau besertaku; gada-Mu dan tongkat-Mu, itulah yang menghibur aku. Kebajikan dan kemurahan belaka akan mengikuti aku, seumur hidupku; dan aku akan diam dalam rumah Tuhan sepanjang masa" (Mazmur 23:4,6).
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para penjawat kudus, saudara-saudari, anak-anak, menantu dan cucu yang mendoakan saya. Kiranya Tuhan mengingat kasih kalian, dan kasih karunia-Nya sentiasa menyertai!
Segala kemuliaan dan kehormatan bagi Tuhan Yesus di syurga yang Mahatinggi. Amin!
