- Diaken Maleakhi Tarintim
Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya menyampaikan kesaksian yang berlaku pada Hari Sabat, 8 Jun 2024 di Gereja Yesus Benar Guong, Kota Belud, Sabah.
Seperti biasa, setelah kebaktian pada Hari Sabat selesai, semua jemaat di Gereja Guong akan bersama-sama membersihkan aula gereja dan kawasan sekitarnya. Setelah pembersihan selesai, kira-kira jam 5 petang, Diaken Maleakhi Tarintim dan Saudara Rolland Tee menyanyikan kidung di dalam aula gereja. Mereka menyanyikan Kidung Bilangan 236 dengan iringan piano oleh Saudari Porlin Tarintim.
Ketika menyanyikan korus Kidung Bilangan 236, tiba-tiba Saudari Porlin mendengar ada suara lain turut menyanyi. Suara itu amat jelas, merdu, dan harmoni. Saudari Porlin percaya bahawa suara tersebut adalah suara sekumpulan malaikat kerana dia tidak melihat jemaat lain di dalam aula gereja selain Diaken Maleakhi dan Saudara Rolland Tee. Suara itu menyanyi bersama mereka dengan begitu jelas kedengaran sehingga memenuhi aula gereja. Namun, ketika itu, Saudari Porlin belum memberitahu Diaken Maleakhi dan Saudara Rolland tentang hal tersebut.
Seterusnya, Diaken Maleakhi dan Saudara Rolland menyanyikan Kidung Bilangan 367. Saudari Porlin masih mendengar suara yang turut menyanyi bersama mereka. Suara itu tetap jelas dan sangat harmoni. Dia merasa sangat terharu dan gembira sehingga mengalirkan air mata.
Sementara itu, beberapa orang saudari yang sedang memasak di dapur gereja juga mendengar suara sekumpulan besar koir sedang menyanyi.
Saudari Jusich Logidu (Puan Pendeta Lazarus Gunchuab) dan beberapa orang saudari menyangka bahawa terdapat ramai belia sedang menjalani latihan koir di aula gereja. Oleh itu, mereka memasak lebih banyak mi, sehingga memenuhi satu dulang besar. Mereka ingin memastikan bahawa ahli-ahli koir yang sedang berlatih di aula gereja dapat makan selepas latihan.
Setelah selesai menyanyi, Diaken Maleakhi turun ke dapur dan hairan melihat mi yang begitu banyak, lalu bertanya kepada Saudari Jusich, "Kenapa kamu masak begitu banyak mi?"
Saudari Jusich menjawab bahawa mereka mendengar ramai orang menyanyi di gereja, jadi mereka mahu menghidangkan mi untuk ahli-ahli koir tersebut.
Diaken Maleakhi berkata, "Tiada kumpulan koir yang menyanyi, hanya dua orang sahaja yang menyanyi."
Para saudari terkejut mendengar kata-kata Diaken Maleakhi. Saudari Jusich pun mengatakan bahawa, tentu mereka mendengar suara sekumpulan malaikat yang menyanyi. Para saudari yang berada di dapur ketika itu merasa sangat gembira dan berbahagia kerana berpeluang mendengar suara koir malaikat. Peristiwa ini memberi peneguhan iman dan penghiburan kepada semua jemaat yang terlibat.
Segala pujian dan kemuliaan hanya untuk Tuhan Yesus. Imanuel.
(Jam 6:00 petang, 8 Jun 2024)